SHAH ALAM 10 Mei — Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sedang menggubal Akta Sains dan mengkaji semula dasar Sains dan Teknologi (S&T) negara dalam usaha menghalakan kedua-dua bidang itu ke arah pasaran dan memperkembangkan aplikasinya dalam sektor perniagaan.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili berkata, penggubalan Akta dan kajian semula dasar itu diharap dapat mengukuhkan keupayaan penyelidikan dan teknologi dengan menitikberatkan aspek hasil penyelidikan dan mengukuhkan keupayaan rangka kerja institusi serta pengurusan S&T.
"Usaha yang bersepadu ini akan juga mengambil kira pentingnya kerjasama antara kerajaan, industri, universiti dan institusi penyelidikan awam yang akan bekerjasama dalam satu gabungan yang mantap,” katanya pada Majlis Hari Inovasi dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang MOSTI 2010 di sini hari ini.
Ongkili berkata, Majlis Sains & Penyelidikan Negara dipertanggungjawabkan untuk menjalankan kajian semula dan penggubalan akta itu.
Kementerian menjangkakan Akta Sains akan dibentangkan di Parlimen pada penghujung tahun ini, katanya.
Ongkili berkata, MOSTI juga sedang dalam proses menubuhkan Lembaga Ahli Tenknologi Malaysia dan Lembaga Pengkomputeran Profesional Malaysia yang akan berfungsi sebagai badan profesional untuk mengiktiraf profesion ahli teknologi dan juruteknik serta pengkomputeran profesional berdasarkan piawaian atau persetujuan antarabangsa barangan dari jarak jauh. — Bernama
Utusan Online
No comments:
Post a Comment