Wednesday, May 18, 2011

Ekonomi berkembang 4.6% suku pertama

KUALA LUMPUR 18 Mei - Negara telah mencatatkan pertumbuhan ekonomi lebih sederhana sebanyak 4.6 peratus pada suku pertama 2011 berbanding 10.1 peratus pada tahun lalu.
Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata, keadaan itu disebabkan wujudnya risiko luaran termasuk krisis di Asia Barat dan Afrika Utara, bencana alam di Jepun serta kebimbangan hutang berdaulat dalam Kesatuan Eropah.

Selain itu, peningkatan harga komoditi dan tekanan inflasi yang berlaku hampir di seluruh dunia turut memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara.''Meskipun keadaan ekonomi dunia mencabar tetapi BNM masih mengekalkan unjuran pertumbuhan pada tahun ini,'' katanya pada sidang akhbar bagi mengumumkan prestasi suku pertama 2011 di sini hari ini.

Zeti berkata, pertumbuhan ekonomi negara itu disokong oleh perbelanjaan swasta yang lebih tinggi manakala permintaan luar negeri kukuh dipacu oleh permintaan serantau keluaran komoditi dan keluaran bukan elektrik dan elektronik (E&E).

Katanya, semua sektor utama ekonomi, kecuali komoditi utama terus berkembang pada suku tersebut, meskipun pada kadar lebih sederhana.

Permintaan dalam negeri berkembang sebanyak 6.6 peratus pada suku pertama berikutan peningkatan dalam perbelanjaan sektor swasta dan penggunaan sektor awam.

Tambahnya, penggunaan swasta mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 6.7 peratus ekoran pasaran pekerja menggalakkan, sentimen pengguna positif dan peningkatan pendapatan berterusan.

Penggunaan awam pula bertambah sebanyak 6.1 peratus disumbang oleh perbelanjaan lebih tinggi bagi emolumen serta bekalan dan perkhidmatan.

Pertumbuhan dalam sektor perkhidmatan kekal mampan pada kadar 5.9 peratus dengan kebanyakan subsektor mencatat pertumbuhan menggalakkan disebabkan permintaan dalam dan luar negeri bertambah baik, ujar beliau.

Sektor perkilangan berkembang sebanyak 5.4 peratus dipacu oleh pertumbuhan industri berorientasi eksport dan prestasi baik dalam industri dalam negeri terpilih.
Sektor pembinaan mencatat pengembangan 3.8 peratus manakala sektor pertanian menguncup 0.3 peratus pada suku pertama disebabkan kemerosotan pengeluaran minyak sawit akibat cuaca yang tidak memuaskan.

Sektor perlombongan juga menguncup sebanyak tiga peratus kerana pengeluaran minyak mentah lebih rendah berikutan penyelenggaraan terjadual dan kerja-kerja naik taraf.
Beliau berkata, aliran masuk kasar pelaburan langsung asing (FDI) pada suku pertama berjumlah RM7.8 bilion berbanding RM13 bilion pada suku keempat 2010.

Bagaimanapun, selepas pelarasan bagi aliran keluar kasar disebabkan pembayaran pinjaman antara syarikat, FDI bersih juga lebih rendah pada RM4.6 bilion.
Pelaburan langsung luar negeri oleh syarikat Malaysia pula merekodkan aliran keluar bersih sebanyak RM3.8 bilion pada suku pertama, sebahagian dibuat dalam sektor kewangan dan insurans, perkhidmatan perniagaan dan industri komunikasi.

Pelaburan portfolio mencatatkan aliran masuk bersih lebih nyata sebanyak RM4.7 bilion pada suku pertama, menunjukkan penyertaan asing lebih menggalakkan dalam pasaran modal terutama pasaran hutang.

Utusan Online

No comments: