Friday, May 6, 2011

DBKL wujud 995 jawatan tetap baru

KUALA LUMPUR 6 Mei - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan distruktur semula dan proses itu bakal menyaksikan pertambahan 995 jawatan tetap baru.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Fuad Ismail berkata, penstrukturan tersebut akan dilaksanakan setelah pihaknya mendapatkan kelulusan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Menurutnya, daripada jumlah jawatan baru itu, 815 jawatan mendapat kelulusan untuk diisi pada masa ini manakala selebihnya dipenuhkan dalam tempoh tiga tahun.
"Penstrukturan ini turut melibatkan kenaikan pangkat. Ini bermakna, kakitangan yang sudah lama berkhidmat dengan DBKL tetapi masih tidak dinaikkan pangkat kerana tiada jawatan baru berpeluang untuk dinaikkan pangkat.

"Sebanyak 446 orang layak untuk mendapat faedah tersebut atau akan dinaikkan pangkat," katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Pekerja peringkat DBKL di pejabat DBKL, Jalan Raja Laut di sini hari ini.

Turut hadir, Presiden Kesatuan Kebangsaan Pekerja Penguasa-Penguasa Tempatan Semenanjung Malaysia (Anulae), Azih Muda dan Ketua Pengarah DBKL, Datuk Salleh Yusup.
Ahmad Fuad berkata, DBKL kini mempunyai sebanyak 1,375 kakitangan yang berkhidmat secara kontrak manakala 9,996 orang lagi adalah kakitangan tetap.

Menurutnya, apabila penstrukturan ini dibuat, sekurang-kurangnya 450 kakitangan kontrak itu boleh diserap ke jawatan tetap dan bakinya pula akan diserap dalam masa tiga tahun dari sekarang.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan anugerah kepada petugas yang telah berkhidmat dengan DBKL selama 30 tahun dan serta penganugerahan sijil-sijil khas lain.

Ahmad Fuad turut melancarkan laman web Anulae DBKL.

Utusan Online

No comments: