Sunday, May 1, 2011

Kakitangan cemerlang MPAJ diberi penghargaan

AMPANG 1 Mei – Sebanyak 55 kakitangan awam Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menerima penghargaan setelah menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang tahun 2010.
MPAJ turut mengiktiraf perkhidmatan cemerlang kakitangannya menerusi tiga kategori lain iaitu anugerah khas pemandu, anugerah khas sukan dan anugerah khas kepujian.
Yang Dipertua MPAJ, Datuk Mohammad Yacob berkata, beliau mengucapkan tahniah kepada penerima anugerah kerana menunjukkan komitmen yang tinggi sepanjang tahun lalu.
Katanya, kejayaan penerima-penerima tersebut akan menjadi contoh dan pendorong kepada kakitangan MPAJ yang lain untuk berkhidmat dengan lebih baik.

“Saya berharap kecemerlangan ini akan terus dikekalkan serta menjadi pendorong kepada kejayaan yang lebih besar pada masa akan datang,” katanya selepas menyampaikan anugerah pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang MPAJ di sini, baru-baru ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohammed Khusrin Munawi dan Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Abd. Hamid Hussain.Sementara itu, penerima anugerah khas sukan, Othman Hussin melahirkan rasa teruja apabila dipilih menerima anugerah itu.

Katanya, dia juga tidak menjangka menerima anugerah tersebut memandangkan persaingan untuk menerima anugerah itu sangat hebat.“Sepanjang berkhidmat dengan MPAJ, ini adalah anugerah khas pertama saya terima. Selama ini saya hanya menerima anugerah perkhidmatan cemerlang, iaitu sebanyak lima kali,” katanya yang sering mewakili MPAJ untuk sukan petangue dan badminton.

Utusan Online

No comments: