Thursday, May 12, 2011

Ponteng: Pekerja am paling ramai

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
mohdasron.mustapha@utusan.com.my


KUALA LUMPUR 12 Mei – Kakitangan awam daripada kumpulan Pekerja Am Rendah (PAR) dikesan paling ramai ponteng kerja dipercayai kerana melakukan kerja sambilan untuk mendapat wang tambahan sehingga ada yang mengabaikan tugas hakiki.

Perkara itu didedahkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ekoran masalah berkenaan yang melanda kementerian tersebut sejak sekian lama.

Menurut beliau, masalah ponteng kerja dalam kalangan kakitangan PAR itu bukan hanya membabitkan Kementerian Pertahanan, bahkan turut melanda kementerian yang lain.
Hal itu diakui sendiri oleh Presiden Kongres Persatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Ahmad Zahid memberitahu, masalah kewangan dikenal pasti menjadi punca utama kakitangan daripada kumpulan berkenaan gagal memberi komitmen dan tumpuan 100 peratus terhadap tugas mereka.

“Masalah paling besar di Kementerian Pertahanan adalah kakitangan tidak hadir bertugas dan ia sebahagian besar melibatkan PAR. Saya siasat rupa-rupanya bukan hanya di kementerian ini, semua kementerian hadapi masalah sama,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan penubuhan Klinik Kaunseling 1Mindef yang antara lain bertujuan mengatasi masalah kakitangan tidak hadir bertugas, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Omar memberitahu, tidak kurang 200,000 kakitangan PAR di semua agensi kerajaan menghadapi masalah kewangan kronik akibat gaji yang rendah.
Tambahnya, golongan tersebut juga merupakan kumpulan penjawat awam yang paling ramai dibelenggu masalah hutang termasuk meminjam dengan ah long.

Jelas Omar, kakitangan PAR kebiasaannya menikmati gaji kurang daripada RM1,500 sebulan, kecuali yang telah berkerja hampir 30 tahun dan menikmati gaji sekitar RM2,000 sebulan.
“Sebab itu kami menggesa kerajaan supaya memansuhkan Gred 1 hingga 16 yang (gajinya) sudah tidak relevan dengan kos hidup semasa. Sepatutnya paling rendah adalah Gred 17,” ujarnya.

Sementara itu, mengenai klinik itu pula, Ahmad Zahid berkata, penubuhannya bukan bermakna warga ATM mengalami masalah mental, sebaliknya bertujuan membudayakan kaunseling dalam kalangan mereka.

Jelasnya, klinik tersebut merupakan yang pertama seumpamanya di peringkat kementerian di negara ini, kerana belum ada kementerian lain menubuhkan klinik kaunseling sendiri.

“Ia antara lain bertujuan menangani masalah disiplin melibatkan warga kementerian, terutamanya masalah ponteng kerja yang perlu diberikan perhatian.
“Selain itu, ia juga lebih kepada psikologi untuk menangani tekanan yang dihadapi oleh mereka supaya dapat meningkatkan produktiviti dan sistem penyampaian Kementerian Pertahanan,” katanya.

Pada majlis berasingan, Ahmad Zahid menyaksikan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) dengan Open Universiti Malaysia (OUM) serta Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (KAYM) bagi membangun dan memberi pengiktirafan terutamanya kepada pesara tentera.
Beliau seterusnya berharap, Perhebat dapat memberi nilai tambah kepada bekas tentera agar mereka laku di pasaran kerja selepas tamat perkhidmatan.

Menurut Ahmad Zahid, kini terdapat seramai 320,000 pesara tentera di negara ini dan mereka yang telah banyak berjasa menjaga keselamatan negara tidak sepatutnya hanya layak bekerja sebagai pengawal keselamatan atau pemandu teksi apabila tamat perkhidmatan.

Utusan Online

No comments: