KUALA LUMPUR: Golongan pekerja di negara ini diseru sentiasa mempertingkatkan kemahiran, ilmu pengetahuan dan produktiviti kerja mereka seiring dengan matlamat kerajaan mentransformasikan negara menjadi sebuah negara ekonomi maju berpendapatan tinggi.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata inisiatif kerajaan melalui 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) juga dijangka mewujudkan lebih 3.3 juta peluang pekerjaan menjelang tahun 2020, di mana 60 peratus daripadanya merupakan pekerjaan berpendapatan sederhana dan tinggi.
Justeru beliau berkata, warga pekerja hendaklah meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam pasaran kerja yang semakin dinamik dan kompetitif dengan menyemaikan prinsip kreativiti dan inovasi sebagai sebahagian daripada amalan kerja mereka. Sehubungan ini beliau berkata peluang-peluang pekerjaan yang diwujudkan juga perlu disokong dengan aktiviti penyelidikan dan pembangunan, inovasi dan latihan teknikal berkemahiran tinggi. "Dalam usaha kerajaan untuk merealisasikan konsep pekerjaan berpendapatan tinggi, negara perlu berubah daripada aktiviti ekonomi yang bernilai tambah rendah kepada aktiviti yang bernilai tambah tinggi," katanya pada perhimpunan sambutan Hari Pekerja 2011 di sini, hari ini. Katanya, dalam usaha itu, kerajaan juga telah merangka program dan strategi bagi meningkatkan kapasiti tenaga kerja mahir yang kini 28 peratus kepada 33 peratus menjelang 2015 dan 50 peratus menjelang 2020. Muhyiddin juga menekankan kepentingan melahirkan modal insan yang berpengetahuan tinggi, berkualiti dan bertaraf dunia sebagai keperluan dalam usaha Malaysia untuk meneroka sumber pertumbuhan ekonomi baru yang berasaskan teknologi tinggi seperti dalam bidang bioteknologi, nanoteknologi dan teknologi laser.
Katanya dalam konteks ini, institusi pendidikan dan latihan wajar melakukan penambahbaikan secara kreatif dan inovatif ke atas sistem penyampaian pendidikan dan latihan untuk membolehkan negara mengeluarkan lebih ramai tenaga kerja yang bukan sahaja mahir malah berdaya inovatif dan kompetitif.
"Selain daripada institusi-institusi pendidikan dan latihan, pihak majikan dan warga pekerja sendiri juga perlu memainkan peranan yang lebih aktif dalam menjayakan program pembangunan modal insan ini," katanya.
Sementara itu, timbalan perdana menteri juga berkata kerajaan amat menghargai perhubungan "tripartisma" antara pekerja, majikan dan kerajaan yang mantap dan berterusan antara pihak pekerja, majikan dan kerajaan bagi memastikan segala usaha pembangunan negara dapat berjalan dengan lancar.
Katanya, hubungan "tripartisma" yang harmoni dan saling melengkapi antara satu sama lain ini akan memberi manfaat kepada semua pihak.
Sambutan tahun ini yang bertemakan "Pekerja Merealisasikan Transformasi Negara" disertai hampir 12,000 peserta daripada 200 kontijen yang mewakili pelbagai organisasi kerajaan dan swasta.
Turut hadir, Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam, timbalannya, Datuk Maznah Mazlah, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman, Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Jaafar Abdul Majid dan Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia, Datuk Azman Shah Haron.
BERNAMA
No comments:
Post a Comment