Friday, May 27, 2011

Tak setuju syor CUEPACS bersara pada usia 60 tahun

SAYA sebagai kakitangan awam tidak bersetuju dengan saranan Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman agar usia bersara wajib penjawat awam dilanjutkan lagi daripada 58 tahun kepada 60 tahun. Pendapat beliau kadangkala 'menghiburkan hati' penjawat awam yang diwakilinya, tidak kurang yang menjengkelkan dengan idea yang hanya indah dalam bentuk angan-angan tetapi mengarut jika dijadikan kenyataan.

Asalnya usia bersara wajib penjawat awam 55 tahun, kemudian ditambah setahun lagi menjadi 56 tahun dan terakhir dipanjangkan pula menjadi 58 tahun mulai 2007. Kini mahu dilanjutkan pula sehingga usia 60 tahun. Faktor mentaliti, kualiti kerja dan komitmen terhadap tugas dalam kalangan penjawat awam di Malaysia sebenarnya masih jauh daripada menyamai tahap pemikiran dan keupayaan yang dimiliki negara maju, walaupun CUEPACS cuba menafikannya. Bayangkan, kakitangan awam yang baru mencecah usia 45 tahun hingga 50 tahun sudah banyak yang menjadi ‘pelupa’, ‘merasa diri sudah amat tua’ dan ‘menjadi perlahan dalam serba-serbi’. Belum diambil kira golongan yang dihinggapi pelbagai penyakit dalam kalangan rakyat Malaysia seperti darah tinggi, kencing manis, sakit sendi, lemah tulang, sakit jantung dan sebagainya tatkala usia semakin menghampiri 50 tahun.

Apakah tuntutan itu semata-mata bersandarkan kepada alasan untuk melapangkan sedikit sumber kewangan penjawat awam yang rata-rata banyak menanggung beban hutang seperti hutang rumah, kenderaan, pendidikan anak, insurans kesihatan dan kemalangan dengan memanjangkan lagi tempoh perkhidmatan mereka sekali gus memanjangkan juga tempoh bayaran balik hutang berkenaan.

Bagaimana dengan generasi muda yang baru hendak mencari penghidupan? Perlukah mereka menunggu sehingga ‘orang lama’ yang sudah lelah ini meninggal dunia baru peluang kerja akan terbuka untuk mereka.

Banyak perkara lain yang perlu difokuskan oleh CUEPACS, bukan tuntutan untuk melanjutkan usia bersara wajib sehingga 60 tahun. Jika ini dipenuhi, apakah beberapa tahun akan datang akan diminta untuk dilanjutkan sehingga 65 tahun pula?

WAN ZAFFIZZ WAN MUHAMMAD,
Taman Greenwood, Gombak.



Berita Harian Online

No comments: