Monday, May 23, 2011

Tindakan tegas gagal patuhi gaji minimum

KUALA LUMPUR 23 Mei - Majikan di negara ini bakal berhadapan tindakan tegas sekiranya gagal mematuhi penetapan kadar gaji minimum yang akan diwartakan kelak.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, dengan peruntukan tertentu di dalam Akta Majlis Konsultasi Gaji Kebangsaan yang bakal digubal, kerajaan berhak untuk mengambil tindakan kepada syarikat terlibat.

"Sekiranya keputusan akta tersebut telah dibuat dan diwartakan maka menjadi kewajipan kepada majikan untuk mematuhi kadar yang ditetapkan itu.

"Jika tidak, dengan peruntukan tertentu dalam akta berkenaan, kerajaan mempunyai hak untuk mengambil tindakan terhadap majikan yang berdegil," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Pameran Kerjaya Universiti UCSI Keempat, di sini hari ini.

Majlis tersebut turut meraikan rakan usaha sama yang menyediakan peluang latihan amali kepada mahasiswa universiti tersebut.

Subramaniam berkata, rang undang-undang Akta Majlis Konsultasi Gaji Kebangsaan akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada bulan depan dan dijangka dilaksanakan selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Akta tersebut adalah bagi menggantikan Akta Majlis Penetapan Gaji 1947 yang berperanan mengkaji isu gaji minimum sektor swasta di negara ini.

Dalam pada itu, Subramaniam yang juga Timbalan Presiden MIC berkata, pihaknya menerima lebih 300 aduan daripada pelajar berketurunan India berhubung isu biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Kebanyakan aduan, kata beliau, membabitkan pelajar yang gagal memperolehi biasiswa untuk pengajian yang sepatutnya.

Beliau mengulas mengenai permasalahan pembahagian biasiswa JPA yang disuarakan oleh MIC baru-baru ini.

Utusan Online

No comments: