Sunday, May 1, 2011

Kakitangan awam kerap diberi amaran

Oleh Norfatimah Ahmad


135 langgar tatatertib terima hukuman ringan

KUALA LUMPUR: Hukuman ringan berbentuk amaran pentadbiran yang juga tindakan paling kerap dikenakan terhadap penjawat awam, tidak mencerminkan hasrat sebenar kerajaan memastikan perkhidmatan itu benar-benar bersih dan bebas daripada amalan negatif.

Malah, seperti ditegaskan Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Sutinah Sutan, ketua jabatan hanya memberi amaran atau nasihat kepada penjawat awam yang terbabit dalam rasuah, tidak seiring pendirian kerajaan bagi memerangi gejala negatif berkenaan. Dalam Laporan Tahunan 2010 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mencatatkan seramai 135 individu dikenakan hukuman itu sepanjang 2010 berbanding 90 pada tahun sebelumnya.

Baru-baru ini, Pengarah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Rasuah, Datuk Hisham Nordin, berkata penjawat awam terbabit dalam rasuah, penyelewengan serta salah guna kuasa akan dikenakan tindakan peringkat dalaman dengan menahan gaji, turun pangkat dan buang kerja tanpa perlu menunggu perbicaraan atau disabitkan kesalahan oleh mahkamah.

Hukuman lebih berat itu bakal dihadapi penjawat awam yang melakukan kesalahan berkenaan apabila pindaan Pekeliling Perkhidmatan Awam (Tatatertib) yang kini diteliti pejabat Peguam Negara dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), diluluskan kelak. Jika pindaan itu dikuatkuasa, tiada lagi hukuman ringan seperti amaran bertulis dan lisan seperti sekarang.

Laporan tahunan SPRM itu turut mencatatkan 13 individu dihukum turun gaji, 12 dibuang kerja manakala tiga penjawat awam diturunkan pangkat kerana kesalahan tatatertib. Selain itu, 350 laporan SPRM dikemukakan kepada ketua jabatan dan agensi kerajaan tahun lalu berbanding 235 laporan suruhanjaya itu pada 2009.

Mengikut laporan itu, 204 kesalahan tatatertib kerana tidak melaksanakan tugas dan menggunakan kedudukan atau jawatan untuk kepentingan diri manakala 72 lagi mengemukakan tuntutan palsu atau pengesahan yang mengandungi butiran palsu.


Berita Harian Online

No comments: