WAN ZAFFIZZ WAN MUHAMMAD
Gombak, Selangor
SAYA sebagai kakitangan awam tidak bersetuju dengan saranan Presiden CUEPACS, Datuk Omar Othman, agar usia bersara wajib penjawat awam dilanjutkan daripada 58 tahun kepada 60 tahun.
Pendapat atau cadangan Omar kadang kala 'agak menghiburkan hati' penjawat awam yang diwakili oleh badan berkenaan.
Tetapi ada masanya 'agak menjengkelkan' dengan idea yang hanya indah dalam bentuk angan-angan tetapi mengarut jika dijadikan kenyataan!
Pada asalnya usia bersara wajib penjawat awam ialah 55 tahun. Kemudian ditambah setahun lagi menjadi 56 tahun dan terakhir dipanjangkan pula menjadi 58 tahun mulai 2007. Kini mahu dilanjutkan pula sehingga usia 60 tahun?
Faktor mentaliti, kualiti kerja dan komitmen terhadap tugas dalam kalangan penjawat awam di Malaysia sebenarnya masih jauh daripada menyamai tahap pemikiran dan keupayaan yang dimiliki oleh negara-negara maju, walaupun Presiden CUEPACS cuba menafikannya.
Bayangkan, kakitangan awam yang baru mencecah usia 45 tahun hingga 50 tahun sudah banyak yang menjadi 'pelupa', 'merasa diri telah amat tua' dan 'menjadi perlahan dalam serba-serbi'.
Ini belum diambil kira golongan yang telah dihinggapi penyakit 'terkenal' dalam kalangan rakyat Malaysia seperti darah tinggi, kencing manis, sakit sendi, lemah tulang, sakit jantung dan sebagainya tatkala usia semakin menghampiri 50 tahun.
Apakah tuntutan Presiden CUEPACS tersebut hanya semata-mata bersandarkan kepada alasan untuk 'melapangkan sedikit sumber kewangan penjawat awam' yang rata-rata banyak menanggung beban hutang?
Misalnya hutang rumah, kenderaan, pendidikan anak-anak, insurans kesihatan, kemalangan dan lain-lain?
Dengan memanjangkan lagi tempoh perkhidmatan mereka, sekali gus memanjangkan juga tempoh bayaran balik hutang berkenaan?
Bagaimana dengan generasi anak-anak muda yang baharu hendak mencari penghidupan?
Perlukah mereka menunggu sehingga orang lama yang sudah lelah ini meninggal dunia terlebih dahulu baharu peluang kerja akan terbuka untuk mereka?
CUEPACS sebagai badan induk yang diwujudkan untuk menyuarakan hasrat kakitangan awam, sekali gus membela nasib mereka, ada masanya kelihatan bagaikan dipengaruhi oleh 'golongan tertentu' atau pun 'isu tertentu' sahaja.
Isu pelarasan gaji kakitangan awam tanpa mengira gred yang dilaung-laungkan oleh presidennya, sebagai contoh, boleh dikatakan relevan dan dialu-alukan memandangkan kos sara hidup meningkat berkali-kali ganda hanya dalam tempoh setahun.
Harga petrol dan diesel kerap kali naik. Apabila ini berlaku, harga barangan keperluan harian secara langsung akan ikut naik.
Bayangkan bagaimanakah kakitangan awam gred bawahan terpaksa berdepan dengan keperitan hidup apabila kos barangan dan perkhidmatan melonjak naik bebarapa kali setahun, sedangkan anjakan gaji tahunan mereka tidak sampai RM50?
Perkara ini yang lebih perlu difokuskan oleh CUEPACS, bukan tuntutan untuk melanjutkan usia bersara wajib sehingga 60 tahun!
Jika ini dipenuhi, adakah pada tahun-tahun akan datang akan diminta agar usia persaraan dilanjutkan sehingga 65 tahun pula?
Utusan Online
No comments:
Post a Comment