Monday, May 2, 2011

Rang penetapan gaji minimum ke Parlimen

IPOH: Kementerian Sumber Manusia akan membentangkan Rang Undang-Undang Majlis Konsultasi Gaji Minimum Negara pada sesi Parlimen akan datang untuk menyelaras dan menetapkan gaji minimum pekerja sektor swasta di negara ini.

Pelaksanaan rang undang-undang itu akan memberi kuasa kepada kementerian dan majlis itu untuk membuat apa yang perlu bagi menetap serta menyelaraskan gaji di kalangan pekerja sektor swasta di negara ini. Menterinya, Datuk Dr S Subramaniam, berkata majlis itu juga mempunyai kuasa untuk memastikan apa yang ditetapkan dipatuhi oleh sektor swasta

Selepas majlis itu ditubuhkan, satu pengumuman akan dibuat supaya gaji di sektor swasta mampu diselaraskan mengikut kesesuaian kos sara hidup masa kini,” katanya selepas sambutan Hari Pekerja CUEPACS peringkat kebangsaan, di Stadium Indera Mulia, di sini, semalam.

Beliau mengulas cadangan penyelarasan gaji minimum terhadap pekerja di sektor swasta.

Kajian kementerian itu sebelum ini yang membabitkan 1.3 juta pekerja di negara ini menunjukkan 33.8 peratus daripadanya menerima gaji kurang daripada RM700 sebulan, iaitu di bawah kadar kemiskinan RM720 sebulan.

Dalam perkembangan lain, Subramaniam juga meminta perkhidmatan sektor awam memberi tumpuan terhadap kaedah penyelarasan dan penstrukturan semula proses penyampaian sedia ada.
“Kerajaan sedar, kita perlu membuat beberapa perkara untuk mengurangkan birokrasi. Jadi, ada banyak agensi berkongsi dalam sektor perkhidmatan untuk memastikan proses penyampaian itu diperhalusi dan diperincikan supaya tidak terperangkap dalam sistem birokrasi sedia ada,” katanya.

Kira-kira 3,000 kakitangan perkhidmatan awam dari seluruh negara berhimpun pada majlis berkenaan bagi meraikan sambutan Hari Pekerja tahun ini.

Pada majlis itu, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) memenangi Anugerah Majikan Prihatin CUEPACS, manakala Anugerah CUEPACS Bahagian Contoh dimenangi CUEPACS Bahagian Wilayah Persekutuan



Berita Harian Online

No comments: