Thursday, May 5, 2011

Tender projek MRT diketahui November

KUALA LUMPUR 5 Mei - Tender bagi setiap pakej projek laluan pertama Transit Aliran Massa (MRT) dari Kajang hingga ke Sungai Buloh yang menelan belanja berbilion ringgit akan diketahui sepenuhnya pada November ini.

Pengarah Kumpulan Syarikat Prasarana Negara Bhd. (Prasarana), Zulkifli Mohd. Yusoff (gambar) berkata, kontraktor terbabit akan dipilih berdasarkan rekod prestasi, kestabilan kewangan, pengalaman dan kepakaran dalam sektor tersebut.

Beliau memberitahu, pihaknya komited dalam memastikan penyerahan projek itu dilakukan secara telus dan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh kerajaan.
"Sebahagian besar daripada projek itu akan diserahkan kepada syarikat tempatan manakala hanya pakej untuk pembinaan terowong sahaja akan diberikan kepada syarikat luar negara berdasarkan kepakaran mereka.

"Pun begitu, pemberian tender kepada syarikat luar dilakukan dengan syarat ia perlulah berkerjasama dengan syarikat tempatan untuk mendapatkan tender terbabit," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Sebelum ini, Prasarana mengumumkan tender bagi pakej bahagian laluan akan dibuka kepada kontraktor yang layak mulai Jun ini bagi laluan pertama dari stesen Maluri ke Plaza Phoenix sejauh 14 kilometer.

Ditanya mengenai reaksi orang ramai berhubung pelan pembinaan kereta api laju itu ketika ia diletakkan untuk pameran awam, beliau berkata, pihaknya menerima kira-kira 6,000 komen dan hampir 83 peratus daripadanya bersifat positif.

"Tidak kurang juga mereka yang memberi cadangan untuk penambahbaikan dan ada juga yang yang mempersoalkan beberapa perkara termasuk bunyi bising, lokasi stesen dan perkhidmatan bas," jelasnya.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, kos keseluruhan projek tersebut hanya akan diketahui selepas laluan stesen ditetapkan.

Pada 18 Disember lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pelaksanaan projek MRT di Lembah Klang melibatkan laluan Sungai Buloh dan Kajang di mana kira-kira 20 peratus daripada laluan itu melibatkan terowong bawah tanah.
Dijangka lebih 400,000 pengguna akan menggunakan perkhidmatan itu setiap hari apabila ia siap sepenuhnya dalam tempoh lima tahun akan datang kerana ia akan diintegrasikan dengan sistem transit aliran ringan (LRT) Kelana Jaya, LRT Ampang dan KTM Komuter.

Utusan Online

No comments: