KOTA BHARU 8 Mei — Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) tetap akur jika masalah kewangan dijadikan faktor kerajaan tidak dapat melaksanakan pelarasan gaji kepada lebih sejuta penjawat awam.
Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, pada masa yang sama kerajaan perlu melihat keperluan untuk berbuat demikian kerana kepentingan kakitangan berjawatan rendah yang terpaksa membuat kerja sampingan.
"Apa pun kita (CUEPACS) akur dengan kekangan kewangan kerajaan tetapi pada masa yang sama kita perlu melihat dan membantu kakitangan yang berjawatan rendah ini untuk mereka meneruskan kehidupan.
"Kira-kira 20 peratus daripada lebih 700,000 yang berjawatan rendah dilaporkan mula membuat kerja sampingan kerana masalah kewangan yang mereka hadapi,” katanya selepas Majlis Seminar Peranan Penjawat Awam Dalam Transformasi Nasional dan Bengkel Sistem Kompetensi Menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) di sini, hari ini.
Omar berkata, CUEPACS sememangnya tidak bersetuju dengan langkah penjawat awam yang mahu membuat kerja sampingan kerana khuatir mereka hilang tumpuan ketika melakukan pekerjaan hakiki itu.
Bagaimanapun, beliau berkata penjawat awam perlu membuktikan komitmen mereka dalam membantu transformasi kerajaan sebelum memikirkan soal pelarasan dan kenaikan gaji itu.
Utusan Online
No comments:
Post a Comment