Saturday, May 7, 2011

Bina hubungan harmoni – TPM

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 7 Mei – Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa kesatuan sekerja dan majikan membina hubungan tripartisme yang harmoni dan saling melengkapi dengan kerajaan kerana ia akan memberi manfaat kepada semua pihak.
Kata Timbalan Perdana Menteri, hubungan yang harmoni itu dapat memastikan peningkatan produktiviti pekerja seterusnya memberi keuntungan yang lebih kepada majikan.

Dalam masa sama kata beliau, pekerja pula akan memperoleh pendapatan yang tinggi.
“Akhirnya ini akan memanfaatkan semua pihak tidak kira pekerja, majikan atau masyarakat,” katanya ketika berucap pada sambutan Hari Pekerja 2011 di Stadium Putra Bukit Jalil di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam, timbalannya, Datuk Maznah Mazlan, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman.

Pada majlis sama, Muhyiddin turut menyampaikan anugerah kepada pekerja, majikan dan kesatuan sekerja cemerlang dalam 10 kategori berbeza.

Muhyiddin menambah, kerajaan amat menghargai hubungan tripartisme yang mantap dan berterusan antara pihak pekerja, majikan dan kerajaan bagi memastikan segala usaha pembangunan negara dapat berjalan lancar.

Beliau turut berharap hubungan rapat itu akan berterusan bagi memelihara dan meningkatkan perhubungan perusahaan yang harmoni.

Katanya, kejayaan pembangunan negara hari ini adalah hasil hubungan erat antara majikan dan pekerja dan ia wajar dipertingkatkan.

“Kesediaan untuk berubah, menghormati dan menerima perbezaan pendapat dan bekerja ke arah mewujudkan persamaan dan perkongsian bijak akan membuahkan kejayaan,” katanya.

Utusan Online

No comments: