PUTRAJAYA 30 Mei - Keputusan kerajaan untuk menyemak semula kursus bagi pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hanya akan dilaksanakan pada tahun hadapan.
Ketua Pengarah JPA, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah berkata, satu jawatankuasa khas yang akan membincangkan isu tersebut akan ditubuhkan dalam masa terdekat ini.
Bagaimanapun, katanya, butiran semakan semula itu masih dalam perancangan dan perlu melibatkan perbincangan dengan pelbagai pihak.
"Semakan semula ini bukan perkara mudah dan perlu penelitian yang mendalam dan menyeluruh bersama pihak lain seperti Kementerian Pengajian Tinggi.
"Justeru, pemberian biasiswa JPA akan berjalan seperti biasa untuk tahun ini dan selainnya akan diputuskan nanti," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam untuk memberi lebih banyak biasiswa JPA kepada program-program profesional di universiti tempatan.
Ia susulan isu pemberian biasiswa JPA yang mencetuskan polemik apabila Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong mendakwa wujud salah guna kuasa di JPA sehingga menyebabkan terdapat 363 pelajar yang memperoleh kesemua A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) gagal mendapat biasiswa.
Tambah Abu Bakar, JPA juga bersedia menubuhkan sebuah jawatankuasa jika masih terdapat pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan kerajaan dalam isu pemberian biasiswa itu.
Katanya, isu tersebut perlu ditangani segera supaya penyelesaian positif dapat dicapai.
"Saya sudah dimaklumkan bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz bersetuju untuk mempengerusikan jawatankuasa itu.
"Masalah ini timbul kerana tempat yang terhad untuk pemberian biasiswa JPA ke luar negara, namun ia boleh diselesaikan dengan menempatkan pelajar-pelajar tersebut di universiti tempatan," katanya.
No comments:
Post a Comment