Sunday, May 22, 2011

MIC bantu pelajar India cemerlang mohon biasiswa JPA

KUALA LUMPUR 22 Mei - Pelajar kaum India yang cemerlang dalam peperiksaan dinasihatkan supaya mendaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) bagi membolehkan mereka mendapat biasiswa melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Presiden MIC, Datuk G. Palanivel berkata, mereka yang masih belum berbuat demikian boleh mendapatkan bantuan di mana-mana pejabat MIC.

"Mana-mana pelajar yang memohon melalui MIC, kami akan tolong dan akan cuba berbincang dengan JPA mengenai perkara ini, terutama bagi mereka daripada keluarga susah," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri majlis pelancaran Yayasan Telegu Malaysia oleh Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Maglin Dennis D'Cruz di sini.

Sehubungan itu, Palanivel menyeru masyarakat India supaya mengukuhkan perpaduan dan menghayati konsep 1Malaysia.

Sementara itu, seramai 50 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) diraikan dan diberi penghargaan pada majlis hari ini. - BERNAMA

Utusan Online

No comments: