KUALA LUMPUR 19 Mei – Anggota tentera diingatkan supaya bijak menguruskan kewangan keluarga agar tidak memudaratkan imej organisasi keselamatan itu.
Panglima Medan Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd. Nawawi berkata, mereka yang gemar berbelanja di luar kemampuan akan menimbulkan masalah kepada pasukan keselamatan tersebut.
“Saya tidak akan berkompromi untuk mengambil tindakan terhadap anggota yang tidak menguruskan hal kewangan peribadi dengan baik kerana ia melibatkan soal disiplin,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima tabik hormat pada perbarisan ulang tahun Markas Medan Tentera Darat Ke-30 di Kem Perdana Sungai Besi di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Staf Am Markas Medan Tentera Darat, Brigadier Jeneral Datuk Fadzil Mokhtar dan Ketua Staf Perkhidmatan Markas Medan Tentera Darat, Brigadier Jeneral Datuk Emran Yusoff.
Perbarisan statik itu melibatkan 33 pegawai dan 312 anggota Markas Medan Tentera Darat yang diketuai oleh Leftenan Kolonel Rashidin Hashimi Abdul Rashid.
Seramai 23 warga tentera dan awam menerima anugerah sijil kepujian Panglima Medan Tentera Darat Kategori Individu.
Ahmad Hasbullah berkata, penglibatan Tentera Darat dalam melaksanakan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bersama dengan polis mendapat pengiktirafan daripada kerajaan.“Perdana Menteri juga memberi sokongan dan pujian terhadap komitmen itu,” katanya.
Utusan Online
No comments:
Post a Comment