Friday, May 13, 2011

Kakitangan sokongan dua banyak ponteng

KUALA LUMPUR 13 Mei - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengakui gejala ponteng kerja oleh penjawat awam memang berlaku dan paling banyak melibatkan kumpulan kakitangan sokongan dua.

Ketua pengarahnya, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah berkata, bagaimanapun tindakan tatatertib sentiasa diambil bagi mengekang gejala itu termasuk hukuman buang kerja terhadap mereka.

"Ini soal disiplin pekerja. Memanglah ia berlaku tetapi saya tidak mempunyai statistik kerana hukuman dikenakan oleh Ketua Setiausaha kementerian masing-masing," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

"Pelbagai tindakan dikenakan termasuklah tahan dan buang kerja terhadap mereka yang bersalah. Namun masalah ini masih berterusan dan saya tidak boleh nilai serius atau tidak kerana tiada kayu pengukur untuk berbuat demikian," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas pendedahan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mendakwa kakitangan daripada kumpulan Pekerja Am Rendah (PAR) dikesan paling ramai ponteng kerja dipercayai kerana melakukan kerja sambilan.
Menurut Ahmad Zahid, masalah yang melanda kementeriannya itu turut melanda kementerian lain.

Utusan Online

No comments: