Saturday, May 14, 2011

CUEPACS adil bela kakitangan

SAYA ingin merujuk kepada surat yang dikirimkan pada 12 Mei lalu mengenai rasa tidak puas hati pengadu terhadap Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yang hanya membela kakitangan awam bergred 1 hingga 40.

Jika kita lihat CUEPACS memandang serius keadaan ekonomi yang meruncing untuk kakitangan Kumpulan Sokongan terutama Kumpulan Sokongan Dua. Rata-rata Kumpulan Sokongan Dua ini mempunyai pendapatan bersih bawah RM1,000. Tidak semua kakitangan dalam golongan ini mengalami kehidupan sempit, tetapi jika dibandingkan dengan Kumpulan Profesional, perbezaan pendapatan golongan bawahan ini hampir 10 kali ganda lebih rendah. Kepada siapalah golongan ini hendak meluahkan dan meminta kenaikan elaun jika tidak kepada CUEPACS? Golongan bawahan ini tidak kecewa sekalipun golongan profesional mendapat pelbagai elaun yang begitu banyak jumlahnya sementara golongan bawahan tidak mampu menyara keluarga dengan pendapatan sekarang.

Golongan bawahan juga hanya menikmati kenaikan pangkat selepas bertugas melebihi 15 tahun, manakala golongan profesional hanya perlu bertugas tiga tahun untuk menikmati kenaikan gred tinggi.

Jika soal kenaikan elaun rumah menjadi isu golongan ini, CUEPACS boleh menukar elaun perumahan kepada elaun lain untuk kumpulan sokongan. Diharap agar CUEPACS dapat memenuhi segala keluhan dan rintihan semua kumpulan.

ANGGOTA WARISAN, Sabak Bernam


Berita Harian Online

No comments: